15 pemimpin, ahli PAS Besut sertai UMNO

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/politik/2022/05/955562/15-pemimpin-ahli-pas-besut-sertai-umno
Oleh Baharom Bakar - Mei 14, 2022 @ 11:59pm
 

TERENGGANU: PAS Besut menerima tamparan apabila bakal kehilangan lebih 500 ahli.

bhnews@bh.com.my

JERTIH: Sekumpulan 15 pemimpin dan ahli peringkat cawangan dalam PAS Bahagian Besut memutuskan untuk meninggalkan parti itu hari ini dan menyertai UMNO.

Kumpulan diketuai Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Gong Kulim, Aziz Bidin itu menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Bahagian UMNO Besut, Datuk Nawi Mohamad dalam satu program anjuran Barisan Nasional (BN) di Kampung Gong Kulim, di sini.

Aziz (depan tiga dari kiri) menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Nawi (empat kanan) disaksikan Idris (dua kanan) dan Muhammad Pehimi (kanan) di Kampung Gong Kulim, Jerteh, hari ini. - NSTP/ BAHAROM BAKAR

Aziz ketika ditemui mendakwa keputusan meninggalkan PAS disebabkan mereka hilang kepercayaan terhadap perjuangan parti itu termasuk tindakan PAS menyertai Perikatan Nasional (PN).

"Kami kecewa apabila pimpinan tertinggi PAS sanggup mengenepikan UMNO melalui gabungan Muafakat Nasional (MN) dan mengutamakan BERSATU dalam PN.

"Kami tidak dipaksa sesiapa dan tidak menerima sebarang imbuhan kerana menyertai UMNO," katanya ketika berucap mewakili kumpulan terbabit.

Majlis penyerahan borang keahlian UMNO oleh kumpulan 15 bekas pemimpin dan ahli PAS itu turut disaksikan Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh; Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof dan ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Sementara itu, Aziz turut mengesahkan ramai lagi pemimpin dan ahli PAS akan menyertai UMNO dan penyerahan borang keahlian akan diadakan secara berperingkat.

"Mereka yang menyerahkan borang keahlian untuk menyertai UMNO adalah kalangan pemimpin dan ahli jawatankuasa di peringkat cawangan.

"Ahli keluarga dan lebih 500 pemimpin serta jawatankuasa PAS di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, Hulu Besut, Jabi dan Kuala Besut akan turut menyertai UMNO selepas kecewa dengan pimpinan parti itu," katanya.

Sementara itu, Nawi berkata UMNO sentiasa membuka pintu kepada semua ahli parti lain termasuk BERSATU dan PAS untuk menyertai parti itu.

"Kita tidak menjanjikan imbuhan kepada ahli parti lain untuk menyertai UMNO, sebaliknya penyertaan mereka sukarela selepas kecewa dengan sikap pimpinan parti itu," katanya.

Berita ini telah dihantar oleh :

Username : admin
Nama : Admin Ahli VIP
No Hp : 011000000
Email : admin@umnobahagianbesut.com